Pesona Kualiti

Ketika manusia lainnya sibuk terpesona dengan arus utama, seorang perwira sibuk mencipta arusnya sendiri. Pada skala permulaan, ia mencari teman yang benar-benar mahu percaya, dan mahu turut mati memperjuangkan. Bermula dengan seorang, seperti Harun kepada Musa, ia berputar dan berkembang menjadi sebuah gelombang besar yang mengesankan.

Ada masanya kita terfikir, mengapa rakan dari bangku persekolahan yang sama tiba-tiba berubah menjadi seorang perwira yang mengorbankan apa sahaja ibarat esok sudah tiada, yang pergi berdakwah sejauh-jauhnya ibarat singa mencari mangsa, yang manusia lain begitu terpesona justeru berlegar dikelilingnya menagih sayang dan pengalaman. Sedangkan, ketika sama belajar dahulu, kita sama hebat sama lemahnya. Hari ini, rakan itu menjadi perwira dan kita hanya seorang manusia biasa; rakan itu menjadi pusat rujukan para pendakwah, tetapi kita masih lagi pendakwah yang menagih tempat rujukan.

Perenungan yang mendalam terhadap perjalanan dakwah menemukan kita dengan satu kenyataan besar; bahawa yang mengangkat seorang perwira dari kalangan manusia lainnya adalah suasana tumbesaran.

Seorang perwira justeru bila ditekan dengan suasana, ia terus gagah dan berdiri. Ia terus mencari jalan penyelesaiannya. Ia terus melapangkan rumah hatinya untuk sebuah sabar singgah sebentar. Perwira tahu bahawa Nuh telah ajarkan bahawa kegelapan perut Nun akan tersingkap saat memalingkan wajah pada Tuhan. Lalu, apabila perwira disempitkan dengan hambatan dakwah – ukhuwah lemah, tiada penggerak, kesibukan masa seharian, membuka dakwah di kawasan baru, saff yang berterabur, syaitan yang membisikkan, iman yang melemahkan ibadah dan akhlak – dia justeru masih mampu memancarkan sinar cahaya. Hasilnya kemudian turut dinikmati rakan-rakan.

Dalam suasana tiada ibu bapa, seorang Utusan Allah yang mulia telah diutuskan. Dan, dalam suasana tekanan yang menyempitkan dada jugalah, seorang perwira tumbuh membesar.

Seorang pendakwah biasa, apabila suasana dakwahnya sudah maju, ia gagal melihat apa masalahnya. Ia gagal menyedari bahawa Munafiq itu hadir ketika dakwah sudah berkembang besar di Madinah. Kini, hambatan itu tetap ada. Masih ada. Hanya berubah bentuk; dari luaran kepada dalaman. Seorang perwira akan segera dapat menyingkap masalah ini, tetapi seorang pendakwah biasa hanya akan terus terpersona dan terperdaya. Kerana, biasanya hambatan dalaman ini berlaku saat-saat dakwah ini maju dari segi kuantitatifnya. Seperti itulah seorang pendakwah biasa terpesona; pesona kuantiti bukan kualiti.

Sedangkan, betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar?

Betapa bahagianya duduk dalam suasana yang menyempitkan. Penjara adalah tempat khalwat, kematian adalah sebuah syahid, dan terusir dari negeri adalah sebuah rekreasi; demikian puisi seorang perwira bernama Ibn Taimiyah. Pendakwah biasa melihat ini semua sebagai beban yang menekan, tetapi seorang perwira bangkit tinggi untuk mencapai peluang ini. Peluang untuk bangkit. Untuk menjadi lain dari yang lain. Untuk terus berkembang. Untuk berlari ke Syurga.

Letakkanlah perwira ini dalam suasana apa pun, ia akan mencipta arusnya sendiri. Kerana seorang perwira melihat pesona kualiti bukan kuantiti.

My Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s